Monday, February 18, 2013

Tak Sah Nikah Jika Sembunyikan Wali

Petikan daripada Minda, Harian Metro

Dalam Mazhab Syafie, wali elemen penting dalam akad pernikahan. Wali bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong membabitkan ahli waris lelaki terdekat kepada pengantin perempuan.

Wali adalah salah satu daripada rukun dalam perkahwinan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf." (Surah al-Baqarah ayat 232)

Kepentingan wali didalam perkahwinan disokong kuat dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Daripada Sulaiman Bin Musa, daripada Zuhri, daripada Unwah, daripada Aisyah R.A, sesungguhnya Nabi Muhammad bersabda: Sesiapa sahaja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya batal, maka perkahwinannya  batal, maka perkahwinannya batal. Kemudian jika suami mencampurinya (bersetubuh dengannya) maka bagi perempuan itu berhak memperoleh mahar sebab apa yang ia sudah anggap halal daripada mencampurinya. Kemudian jika mereka (wali-walinya) berselisih, maka penguasa (Hakim) yang menjadi wali." - (HR Admad, Abu Daud, Ibnu Majah, Tarmidzi)

Ketiadaan wali dalam perkahwinan boleh menyebabkan nikah itu menjadi tidak sah, fasid atau batal. Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Dan jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu.

Dan jika datuk juga meninggal dunia, maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya.

Tertib susunan wali sepenuhnya ialah: bapa, datul, saudara lelaki seibu, saudara lelaki sebapa, anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa (anak saudara), anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa (anak saudara), saudara lelaki seibu sebapa bagi bapa (bapa saudara), saudara lelaki sebapa bagi bapa (bapa saudara), anak lelaki bagi saudara lelaki seibu sebapa bagi bapa (sepupu), anak lelaki bagi saudara lelaki sebapa bagi bapa (sepupu).

Sekiranya pengantin perempuan langsung tidak mempunyai wali, wali hilang atau ghaib atau jika wali aqrab enggan mewalikan pernikahan tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak, maka dia akan dinikahkan secara wali hakim.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Maka Sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali." (HR At-Tirmizi dan Abu Daud)

Dalam keadaan wali yang dinyatakan di atas masih hidup dan cukup syarat sebagai wali seperti beragama Islam, baligh, berakal, adil dan merdeka, maka melakukan akad pernikahan dengan menyembunyikan wali berkenaan atau melangkaui tertib susunan wali itu boleh menjadikan perkahwinan itu tidak sah.

Malah jika perkahwinan itu dilangsungkan menggunakan wali abad, yakni wali yang jauh perhubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali sedangkan wali aqrab iaitu wali yang paling dekat hubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali masih ada, maka perkahwinannya itu juga boleh jadi tidak sah.

Matlamat rukun wali bukanlah untuk menyusahkan kaum wanita, tetapi untuk menjaga mereka yang mudah dipengaruhi oleh perasaan, kurang pandai memilih, ditipu, dimanipulasi dan tidak boleh mengurus aqadnya sendiri.

Oleh sebab itu, ia hendaklah diserahkan kepada walinya agar tujuan sesuatu perkahwinan itu benar-benar tercapai dengan sempurna.

Imam A-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin mengingatkan seorang wali harus memerhati dan meneliti kelakuan gerak laku calon suami agar tidak mengahwini saudara perempuan dengan seorang lelaki yang buruk budi pekertinya, lemah agamanya atau yang tidak sekufu dengan kedudukannya.

Sekiranya dia mengahwinkan puterinya dengan seorang lelaki zalim atau fasik atau lemah agamanya atau peminum arak, maka dia melanggar perintah agamanya, dan akan mendapat kemurkaan Allah SWT kerana memilih jalan yang salah.

Menyembunyikan atau menipu kewujudan wali bukan saja boleh menjadikan sesuatu pernikahan tidak sah, tetapi kesan lebih besar kepada ketidaktentuan nasab anak, memutuskan silaturahim dan menjadikan masyarakat kacau bilau serta porak-peranda.