Wednesday, February 13, 2013

Hari Kekasih @ Valentine's Day Gugat Akidah

Dipetik dari Harian Metro

Esok, malah bermula malam nanti, jika mengikut budaya Barat, anak muda mereka akan meraikan pasangan kekasih masing-masing sempena Hari Valentine. Sambutannya dalam pelbagai bentuk, boleh jadi dengan menghadiahkan bunga, mengirimkan ucapan ataupun mengadakan aktiviti tertentu berkaitannya.

Biarkanlah mereka dengan budaya yang didambakan itu. Kita dengan budaya ketimuran kita, jadi usah diganggu dan ditiru. Lagi pun Allah sudah menegaskan kepada kita seperti yang terkandung dalam kitab-Nya yang bermaksud "Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku".

Tetapi, makin dibiarkan nampaknya makin bersemarak pula, malah pengaruhnya tersebar luas meresapi masyarakat Timur. Apa yang dikhuatirkan ialah anak muda kita, hendaknya tiada yang terpengaruh.
Ini kerana Islam melarang kita sebagai umatnya daripada meraikannya. Perkara ini ada ditegaskan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam muzakarahnya ke-71 pada 2005, dengan menyatakan amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Menurut Jawatankuasa itu, roh perayaan berkenaan mempunyai unsur Kristian, malah amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Islam, katanya, menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Hari Valentine kerana unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah.

Tegas Jawatankuasa itu lagi, dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang, sebaliknya setiap hari adalah hari kasih sayang.

Menurutnya, hukum Islam jelas dalam melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, bermaksud : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kaum berkenaan." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Satu lagi hujah ialah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Demikianlah hukum dan larangan Islam terhadap Hari Valentine yang dikenali juga sebagai Hari Santo Valentine atau Hari Memperingati Kekasih iaitu satu sambutan tahunan dosemarakkan orang Kristian pada 14 Februari setiap tahun.

Mengikut sejarah seperti yang diterangkan dalam ensiklopedia maya, Wikipedia, sambutan berkenaan bersempena paderi Kristian purba yang bernama Santo Valentine (santo merujuk kepada gelaran suci kepada tokoh Kristian, santa bagi wanita).

Valentine yang dimaksudkan ialah dua paderi masing-masing dari Rom dan Terni, Itali. Valentine dari Rom dikatakan mati demi agama pada 269. Bahan peninggalannya ada di Gereja St Prassede di Rom dan Gereja Karmelit Whitefriar Street di Dublin, Ireland.

Sementara Valentine dari Terni menjadi biskop Interamna (kini Terni) sekitar tahun 197 dan dikatakan berkorban demi agamanya sewaktu zaman penindasan ke atas penganut Kristian di bawah pemerintahan Maharaja Aurelian. Bahan peninggalannya ada di Basilika St Valentine di Terni.

Sungguhpun demikian, tiada unsur asmara dalam riwayat hidup terawal paderi terbabit. Unsur itu mula dikaitkan dalam lingkungan sastera Geoffrey Chaucer pada Kemuncak Zaman Pertengahan dan pada zaman moden is ditampilkan dengan pelbagai lambang seperti bentuk hati, burung merbuk dan dewa Cupid bersayap.

Mungkin ada sesetengah antara kita mendakwa sudah sedia maklum dan sedar mengenai hukum menyambut perayaan kekasih itu, malah sentiasa berhati-hati dengan jeratnya. Tetapi bagaimana dengan mereka yang belum memahaminya atau dikatakan separuh sedar?

Dalam hubungan ini barangkali ada antara anak muda kita yang cuba mendapatkan sedikit ruang terhadap sambutan hari berkenaan. Mungkin akan ada yang bersuara : "Kami bukan sambut lebih-lebih pun, sekadar memberi bunga, beli kek dan belon saja".

Banyaklah alasan diberi. Jika kita melihat kepada fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi, hukumnya lebih tegas, bukan saja tidak boleh meraikan  dan memperakuinya, bahkan menampakkan kegembiraan kerananya juga dikira melanggar batas ditetapkan Allah.

Malah, menurut Jawatankuasa itu, setiap muslim juga haram membantu untuk mengadakan sambutan hari berkenaan, baik dalam bentuk makanan, minuman, penjualan, pembelian, produk, hadiah, surat, iklan dan seumpamanya kerana semuanya termasuk tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan serta maksiat.

Apapun, hukum mengenai sambutan Hari Valentine tetap haram bagi umat Islam dan sesiapa yang menyambutnya boleh menjejaskan kesucian akidah. Dari itu, bagi muda-mudi kita yang sayangkan akidah, janganlah terjebak dengan jerat sambutan itu.